Tepuk dada tanya iman

>> Thursday, November 5, 2009


Firman Allah SWT : “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah keadaan satu kaum sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri.”

Hakikat kehidupan sekarang, rata-rata insan yang berada di sekeliling kita masih lagi tidak memahami konsep perubahan pada diri. Ada yang menyalahkan faktor kejadian padahal ianya datang dari perbuatan diri sendiri, kuasa perubahan tersebut mampu dilakukan oleh jiwa-jiwa mereka. Akan tetapi akibat “ego” mereka sanggup menyalahkan kejadian Sang Pencipta.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap anak Adam terdapat kesalahan yang dilakukan samada terhadap Sang Pencipta atau sesama makhluk. Akan tetapi kesalahan tersebut perlu ditebusi dengan amalan taubat yang diajar oleh Islam. Bukan dengan memberi dakwaan bahawasanya perkara keji yang dilakukan itu adalah dari ketetapan Ilahi yang tidak dapat di ubah.

Firman Allah SWT : “Maka Allah sama sekali tidak berlaku zalim kepada mereka, tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri.”

Dengan ayat ini sudah cukup jelas kepada kita bahawasanya Allah SWT tidak menzalimi makhlukNya sendiri.

………………………………………………………………………

Perubahan pada diri merupakan sikap yang digalakkan di dalam Islam, konsep ini boleh dikenali dengan kata lain iaitu “hijrah”. Perkara ini dinukilkan oleh Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW di dalam peristiwa hijrah dengan membawa golongan-golongan mukmin di Mekah ke Madinah.

Ulama’ Islam juga menafsirkan istilah hijrah ini dengan definisinya iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain atau berpindah dari perkara yang buruk ke perkara yang baik. Alangkah indahnya Islam ini, memberi ruang kesempatan pada ummatnya untuk merubah diri sendiri.

Sedarikah kita setakat mana pengamalan yang kita lakukan di dalam saki baki kehidupan kita pada hari ini? Adakah iainya mencukupi bagi kita untuk bertemu dengan Allah SWT dengan rasa diri ini cukup sempurna dengan amalan-amalan yang baik? Tidak dinafikan terkadang kita menjadi khalal dalam perkara-perkara ini.

Jadi, ingatlah masih ada ruang untuk kita memperbaiki diri kita yang lemah ini selagi mana masih ada peluang untuk kita hidup di bumi Allah SWT ini. Ayat Allah SWT yang berbunyi :

“Dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera mengingati Allah SWT, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa mereka selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui. (135)

Balasan bagi mereka adalah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.” (136) (Ali Imran)

Sedarilah bahawasanya pengampunan dari Allah cukup-cukup luas dan terbuka bagi orang-orang yang ikhlas denganNya.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP