Tahniah sekali lagi buat PMRAM!

>> Saturday, November 28, 2009

Hayyu Sabiek, 27 November - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) amat berterima kasih dengan sokongan padu ahli samada Pengajian Islam mahupun Perubatan, dalam memeriahkan dan menjayakan Solat Sunat Aidil Adha di Masjid Musa Ibnu Nusair Haiyyu Sabie' Madinah Nasr, Kaherah hari ini. Kehadiran yang dijangkakan hampir 1200 mahasiswa dan mahasiswi ini turut diraikan bersama oleh beberapa orang tetamu warga Malaysia, Singapura dan rumpun Melayu yang lain. Gema takbir bermula seawal jam 7.40 pagi sejurus selepas warga Mesir menunaikan solat sunat Aidil Adha.Badan Pengurus PMRAM tidak melepaskan peluang untuk turut sama mengetuai laungan takbir bersama ahli sebagai tanda kebesaran dan keagungan Allah SWT Sejurus selepas itu, seluruh hadirin menunaikan solat sunat Aidil Adha dengan diimamkan oleh Saudara Mohd Azrul bin Ismail, Naib Presiden 1 PMRAM.

Menjadi tumpuan utama, adalah khutbah yang disampaikan oleh yang berbahagia Tuan Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, Saudara Abdul Mu`izz bin Muhammad. Antara perkara utama di dalam isi khutbah beliau adalah menyeru dan menyarankan kepada seluruh ahli PMRAM supaya menjadikan kisah pengorbanan 2 kekasih Allah, iaitu Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. sebagai pedoman dan pegangan bersama. Ahli PMRAM sepatutnya sedia berkorban dalam apa jua lapangan yang memberikan kebaikan dan bantuan kepada agama Islam. Pengorbanan yang berbentuk wang ringgit, tenaga, harta, masa, ilmu, jiwa dan raga semuanya adalah untuk Allah. Saudara Abdul Mu`izz juga turut mengajak para hadirin supaya bersama-sama meneliti dan memahami erti sebenar perayaan ini dengan menyebutkan 2 resolusi yang perlu dimuhasabahkan bersama. Pertama, adalah seharusnya menjadikan perayaan Aidil Adha ini sebagai perayaan untuk muhasabah. Sebagai umat Islam, Aidil Adha adalah lapangan terbaik untuk kita koreksi kembali sejauh manakah pengorbanan kita selama ini untuk Islam? Adakah kita masih lagi miskin dan papa dalam meneladani kisah-kisah perjuangan dan pengorbanan umat Islam yang agung satu ketika dahulu?. Bertepatan dengan perayaan ini, amat molek dan wajar kita selaku umat Islam bermuhasabah dan sedia berubah dalam memastikan Islam itu adalah segala-galanya. Resolusi kedua yang disebutkan ialah, perayaan ini adalah sebagai mercu dan tanda kita menghayati sifat kesempurnaan Islam. Antara ayat Al-Quran yang terakhir diturunkan ketika peristiwa Hajjatul Wada', adalah menceritakan mengenai kesempurnaan Islam dan kesyumulannya. Justeru, perayaan ini seharusnya kita bermuhasabah adakah kita menjalani kehidupan kita dengan Islam yang Syumul? Adakah Islam dan Ad-Deen itu benar-benar menjadi cara hidup dan tatacara kita sewaktu kita di sini?. Semua persoalan ini adalah sebagai muhasabah dan kesedaran bersama dalam kita menghayati (Aidil Akbar) Perayaan Terbesar dalam Islam ini.

Khutbah kedua yang disampaikan oleh yang berbahagia Presiden, amat memberikan motivasi dan inspirasi kepada para hadirin. Beliau mengulas akan satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. akan kepentingan kita memohon bantuan dan berserah diri kepada Allah s.w.t. Setiap masalah dan hajat seharusnya ditujukan kepada Allah s.w.t. pemilik kepada dunia dan segala isinya. Umat Islam juga wajib mempercayai akan ketentuan baik dan buruk itu adalah daripada Allah s.w.t. Tidak perlu untuk kita risau dan gundah akan rezeki dan keberuntungan kita kerana semuanya telah ditulis olehNYA. Maka tidak ada sesiapapun dimuka bumi ini yang mampu menidakkan mahupun mendahului urusan Allah s.w.t.

Majlis berakhir pada jam 9.00 pagi dan seluruh hadirin bersalam-salaman dan memohon maaf diatas kesalahan yang dilakukan. Para hadirin turut juga mengambil peluang bersalam-salaman dengan Kepimpinan Badan Pengurus dan HEWI PMRAM. Badan Pengurus dan HEWI PMRAM turut sama mengambil peluang ini untuk bermesra dengan ahli dan saling memaafi antara satu sama lain. Sejurus selepas itu, para hadirin dijemput hadir ke Rumah Kelantan Baru Haiyyu Sabie' untuk menikmati sedikit juadah hari raya.

Di kesempatan ini, seluruh Badan Pengurus dan HEWI PMRAM mengucapkan jutaan terima kasih kepada BKAN dan DPM yang memberikan kerjasama serta kepada ahli-ahli PMRAM yang hadir ke majlis solat sunat hari raya ini. Badan Pengurus dan HEWI PMRAM juga menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya berlaku kekurangan dan kesalahan samada sedar mahupun tidak. Semoga Ibadah kita semua diterima oleh Allah SWT.

sumber : http://pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=746:solat-sunat-aidiladha-anjuran-pmram-meriah&catid=1:pmram&Itemid=63

Catatan : Tahniah buat Persekutuan Republik Arab Mesir (PMRAM) kerana berjaya mengadakan solat Aidil Adha 1430H di Masjid Musa Bin Nusair Haiyyu Sabi'. Walaupun tahun-tahun sebelum ini pernah dilakukan sedemikian rupa, tetapi pada kali ini ahli PMRAM lebih bertenaga dan bersemangat dalam mendokong PMRAM walaupun dalam keadaan ditekan oleh beberapa pihak.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP