Pengertian As-Sunnah

>> Tuesday, February 16, 2010

بسم الله الرحمن الرحيم

Perkataan [ As Sunnah ] jika dilihat dari sudut bahasanya memberi maksud [ Satu jalan yang diikuti . Samaada jalan itu jalan yang baik atau jalan yang jahat . Baik dan jahatnya itu dilihat kepada bagaimana perkataan [ As Sunnah ] itu digunakan .

Seperti contoh : Sabda Nabi saw dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam shohihnya , dari Jarir bin Abdullah :

من سن في الإسلام سنة حسنة فعمل بها كتب له مثل أجر من عمل بها و لا ينقص من أجورهم شئ و من سن في الإسلام سنة سيئة فعمل بها بعده كتب عليه مثل وزر من عمل بها و لا ينقص من أوزارهم شئ

Barang siapa yang telah melakukan suatu perkara ( atau melorongkan satu jalan ) di dalam Islam , sebagai perkara ( atau jalan ) kebaikan lalu diamalkannya ( oleh orang yang ditunjukkinya ) , nescaya ditetapkan baginya pahala seperti mana pahala orang yang mengamalkannya ( kebaikan tersebut ) dan tidaklah mengurangkan pahala mereka sedikit pun dan barangsiapa yang telah melakukan suatu perkara ( atau melorongkan satu jalan ) di dalam Islam , sebagai perkara ( atau jalan ) kejahatan lalu kejahatan itu dilakukan oleh orang lain nescaya ditetapkan ke atasnya dosa seperti dosa orang yang melakukannya dan tidak sedikitpun mengurangkan dosa mereka .

Secara ringkas kita bahagikan pandangan - pandangan ulama' berkait pengertian sunnah secara umum kepada beberapa kategori .

As Sunnah Menurut pandangan Ulama' Usul


As Sunnah adalah sumber perundangan Islam selain Kitab suci Al Quran
dan ia adalah suatu yang datang dari Nabi Muhammad saw . Samaada perkataan , perbuatan atau diamnya [ taqrir ] Nabi saw terhadap sesuatu perkara , ia merupakan as Sunnah . Dalam pengertian yang serupa as Sunnah juga merupakan penunjuk cara dari Nabi saw untuk memahami agama Allah swt dan bagaimana untuk melaksanakannya .

As Sunnah menurut pandangan Ulama' al Hadis

Sedikit penambahan dalam pengertian as Sunnah menurut pandangan ulama' hadis sekira - kira suatu yang diktibarkan sebagai sunnah ialah apa yang disandarkan kepada Nabi saw samaada perkataan , perbuatan , diam , sifat atau sirah [ perjalanan hidupnya ] . Demikianlah sunnah menurut pandangan ulama' hadis yang mengandungi 5 jenis yang disebutkan tadi .

As Sunnah menurut pandangan Ulama' Feqah

Sunnah dalam pengertian ulama' Feqah ialah suatu yang menjadi tuntutan syara' namun ianya bukanlah satu kemestian [ غير جازم ] untuk melakukankannya sekira - kira diberi pahala kepada pelakunya dan tidaklah berdosa kepada mereka yang meninggalkannya . Sebagai contoh puasa enam dibulan syawal selepas hari raya aidil fitri , ianya disebut sunnah bukan wajib .

Kesimpulannya :

As Sunnah di sisi ulama' usul adalah satu dalil daripada dalil - dalil Hukum Syara' . Sementara sunnah di sisi ulama' Feqah [ Fuqaha' ] ialah satu hukum daripada hukum-hukum syara'.

As Sunnah di satu sudut pandangan yang lain juga bermaksud syariat yang dibawa oleh nabi saw dan ia adalah suatu yang berlawanan dengan bida'ah [ amal yang direka - reka dalam perkara ibadah ] . Pengertian jelas kita lihat dalam satu hadis Nabi saw. yang diriwayatkan oleh Abu Dawud , Ibnu Majah dan Tarmizi dan katanya Hadis ini Hasan Sohih :

عن العرباض بن سارية يقول رسول الله صلى الله عليه وسلم
أنه من يعش منكم فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسني و سنة الخلفاء الراشدين من بعدي
عضوا عليها بالنواجذ و إياكم و محدثات الأمور فإن كل بدعة ضلالة

Maksudnya : dari Irbadh bin Sariah Nabi saw bersabda : Sesungguhnya sesiapa yang hidup [ panjang umur ] dikalangan kamu nescaya ia akan melihat berlakunya perselisihan [ konflik atau krisis ] yang dahsyat [ dikalangan ummat manusia ] maka diwajibkan keatas kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah khulafa' ar Rasyidin yang datang selepasku . Genggamlah [ sunnah ] itu dengan geraham seerat - eratnya dan waspadalah kamu terhadap perkara yang diada - adakan . maka sesungguhnya setiap yang bid'ah [ perkara yang diada - adakan dalam ibadah ] adalah suatu kesesatan .

Sumber :

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP