Tahniah Sahabatku Mujahid

>> Monday, November 9, 2009

Selamat Pengantin Baru, moga bahagia hingga ke anak cucu

Firman Allah SWT : "Dan diantara tanda-tanda (kebesaranNya) ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir". (Ar-Rum : 21)

Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang Maha Merancang segala sesuatu dan Dialah yang sebaik-baik perancang. Kesyukuran dirafa'kan juga kepada Allah SWT kerana aku dapat melihat seorang sahabatku dari negeri jiran iaitu Perak menjadi seorang suami kepada serikandi pilihannya. Walaupun kenduri yang diadakan tidak dapat aku hadiri tetapi harapan dan doa mengiringi kedua-dua mempelai yang segak dan bergaya ini.

Mujahid merupakan seorang sahabat yang sebaya denganku yang hadir ke bumi Anbiya' bersama-sama satu ketika dahulu. Telatah dan kerenahnya mula aku kenali ketika kami bersama-sama belajar di sebuah Pusat Bahasa Arab Nilampuri sebagai persediaan untuk belajar di Ardul Kinanah ini. Beliau merupakan seorang pelajar lepasan dari sekolah Maahad Muhammadi di Kelantan dan beliau begitu aktif di dalam persatuan sehinggakan pernah dilantik menjadi exco di Pusat Bahasa Arab Nilampuri Kelantan.

Keaktifan beliau tidak dapat dipisahkan dari jiwanya semasa keberadaannya disini sehinggakan beliau dilantik menjadi YDP di BKAN Perak. Satu anjakan paradigma dapat aku lihat dari dirinya untuk menjadi seorang pemimpin berjiwa murabbi. Tambahan pula sekarang ini sudah menjadi seorang suami yang akan mendidik isteri dan membimbing keluarga ke jalan yang diredhoi Allah. Semoga sunnah Nabi yang dilakukan ini mendapat satu kekuatan dalam jiwa untuk terus beriman kepada Allah SWT. Seperti sabda Nabi SAW yang menyebut bahawa perkahwinan itu sebahagian dari iman, maka setengahnya lagi adalah dengan taqwa kepada Allah.

Alfun Mabruk diucapkan kepada Mujahid, lepas ni sapa yang nak kawin? Doakan sahabat-sahabat yang belum kawin nie plak ye...Moga-moga dipermudahkan urusan kita semua.

Read more...

Pengalaman yang mendewasakan

>> Sunday, November 8, 2009


Firman Allah SWT : "Katakanlah: "Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang ditetapkan oleh Allah bagi kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakkal". (At-Taubah : 51)

Setiap insan berbeza kehidupan mereka mengikut ujian yang diberikan oleh Allah SWT. Dan kita perlu bergantung harap pada Allah SWT sepenuhnya tanpa bergantung harap pada makhluk lain dengan harapan agar Allah meringankan bebanan yang dialami. Sememangnya itulah sikap orang mukmin yang sentiasa bertawakkal pada Allah SWT.

Dikesempatan ini, suka ana menyebut berkenaan abang-abang dan kakak-kakak lama yang berada di Mesir umumnya dan Mansurah khususnya. Kalimah abang-abang atau kakak-kakak lama ini begitu sinonim dalam jiwa Azhari dan mereke seringkali dikenali ramai sehinggakan dihormati oleh adik-adik yang datang selepas mereka.

Keberadaan mereka di sini bukanlah satu fitnah dikalangan Azhari, tidak seperti pandangan pihak-pihak yang lain berpandangan negatif terhadap mereka. Mereka mempunyai kelebihan tersendiri yang hanya boleh dinilai oleh orang yang mendampingi mereka. Ketabahan mereka dapat kita perhatikan bersama, dalam menempuh ujian hidup dan tidak pernah merasa kecewa akan takdir yang menentukan nasib mereka. Apatah lagi menyalahkan takdir yang Maha Esa.

Secara terus terangnya, keberadaan mereka di sini mematangkan lagi mahasiswa Al-Azhar yang menjadi pucuk muda dalam membentuk peribadi sebagai Ulama' Azhari. Tanpa mereka, kematangan selaku orang lama tidak dapat disalurkan dengan baik dalam membentuk biah mahasiswa yang matang. Sekurang-kurangnya mereka dapat mentarbiyah diri dan jiwa orang-orang muda di sini.

Selain itu juga, keilmuan mereka juga tiada tolak bandingnya. Jika dilihat dari sudut menggapai kejayaan dalam peperiksaan, kemungkinan mereka tidak dipilih untuk berjaya 'ala tul. Akan tetapi, didalam diam-diam ubi, ilmu yang berada di dalam tubuh mereka tidak dapat dihitung bahkan lebih hebat dan perkasa berbanding dengan golongan yang najah 'ala tul. Hal ini terbukti dengan pengisian tenaga pengajar di dalam pentas-pentas pengajian adalah dari golongan abang-abang lama di sini. Saya kira tidak perlu menyebut siapakah mereka itu, saudara dan saudari boleh menilainya sendiri dan berkemungkinan sahabat-sahabat sekalian dapat menjadi seperti mereka bagaikan permata di dasar lautan.

Read more...

3J di dalam diri

>> Friday, November 6, 2009

Jami' = masjid | Jami'ah = Universiti | Jam'iyyah = persatuan


Dalam situasi kita selaku mahasiswa sekarang ini, kita perlu menanam 3J dalam diri kita untuk menjadi seorang pejuang agama Allah SWT. Konsep yang disebut ini dikira satu benda yang cukup sempurna bagi merealisasikan Daulah Islamiah berdaulat di muka bumi.

Peranan masjid adalah sebagai instistusi pembinaan rohani yang menjadi benteng kekuatan ruhiyah diri. Dengan berpegangnya konsep ini, diri kita dapat membentuk akhlak yang baik dan terpuji, serta iman yang kukuh.

Peranan universiti adalah sebagai institusi untuk menimba ilmu sedalam yang mungkin bagi menjana kefahaman Islam yang syumul sebelum merealisasikannya.

Adapun konsep yang ketiga iaitu persatuan, ia merupakan satu peranan yang penting bagi merealisasikan konsep ruhiyah yang disemai melalui jami', ia boleh diadaptasikan melalui medan ini. Begitu juga dengan konsep yang kedua (universiti). Dengan adanya persatuan, ilmu yang dipelajari di jami'ah dapat direalisasikan di dalam persatuan. Oleh itu, konsep yang disebutkan diatas mempunyai kaitan diantara satu sama lain lantas memberi impak yang begitu besar dan positif terhadap diri sendiri, masyarakat dan Islam.

Read more...

Tepuk dada tanya iman

>> Thursday, November 5, 2009


Firman Allah SWT : “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah keadaan satu kaum sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri.”

Hakikat kehidupan sekarang, rata-rata insan yang berada di sekeliling kita masih lagi tidak memahami konsep perubahan pada diri. Ada yang menyalahkan faktor kejadian padahal ianya datang dari perbuatan diri sendiri, kuasa perubahan tersebut mampu dilakukan oleh jiwa-jiwa mereka. Akan tetapi akibat “ego” mereka sanggup menyalahkan kejadian Sang Pencipta.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap anak Adam terdapat kesalahan yang dilakukan samada terhadap Sang Pencipta atau sesama makhluk. Akan tetapi kesalahan tersebut perlu ditebusi dengan amalan taubat yang diajar oleh Islam. Bukan dengan memberi dakwaan bahawasanya perkara keji yang dilakukan itu adalah dari ketetapan Ilahi yang tidak dapat di ubah.

Firman Allah SWT : “Maka Allah sama sekali tidak berlaku zalim kepada mereka, tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri.”

Dengan ayat ini sudah cukup jelas kepada kita bahawasanya Allah SWT tidak menzalimi makhlukNya sendiri.

………………………………………………………………………

Perubahan pada diri merupakan sikap yang digalakkan di dalam Islam, konsep ini boleh dikenali dengan kata lain iaitu “hijrah”. Perkara ini dinukilkan oleh Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW di dalam peristiwa hijrah dengan membawa golongan-golongan mukmin di Mekah ke Madinah.

Ulama’ Islam juga menafsirkan istilah hijrah ini dengan definisinya iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain atau berpindah dari perkara yang buruk ke perkara yang baik. Alangkah indahnya Islam ini, memberi ruang kesempatan pada ummatnya untuk merubah diri sendiri.

Sedarikah kita setakat mana pengamalan yang kita lakukan di dalam saki baki kehidupan kita pada hari ini? Adakah iainya mencukupi bagi kita untuk bertemu dengan Allah SWT dengan rasa diri ini cukup sempurna dengan amalan-amalan yang baik? Tidak dinafikan terkadang kita menjadi khalal dalam perkara-perkara ini.

Jadi, ingatlah masih ada ruang untuk kita memperbaiki diri kita yang lemah ini selagi mana masih ada peluang untuk kita hidup di bumi Allah SWT ini. Ayat Allah SWT yang berbunyi :

“Dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera mengingati Allah SWT, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa mereka selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui. (135)

Balasan bagi mereka adalah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.” (136) (Ali Imran)

Sedarilah bahawasanya pengampunan dari Allah cukup-cukup luas dan terbuka bagi orang-orang yang ikhlas denganNya.

Read more...

Musim Sejuk

>> Tuesday, October 20, 2009

Gambar Jaulah Sinai 2008

Sejak semalam musim sejuk di bumi Mesir ini kian dirasai. Nikmat ini perlulah kita syukuri. Nikmat empat musim yang di anugerahkan tidak nilaian melainkan merafa'kan rasa syukur dan sentiasa beriman kepada-Nya.

Allah maha pemurah dan penyayang menanugerahkan nikmat dunia sementara demi melihat sejauh mana keimananan kepada-Nya. Seluruh ummat merasai nikmat dunia ini. Namun bezanya apa yang telah Allah anugerakan kepada ummat Islam adalah nikmat Iman dan Islam. Bertambah syukur supaya dikekalkan nikmat sangat bernilai berbanding nikmat lain.

Terkenang aku bila melihat gambar-gambar sepanjang keberadaan di bumi Mesir. Bila menjegah gambar ketika bermusim sejuk terasa kesejukan. Bila menjengah gambar ketika berada di musim kepanasan Allahurabbi kepanasan dikenang. Kesemuanya adalah nikmat supaya aku tidak mengeluh menyoal. Kenapa sejuk sangat..? eh kenapa panas sangat..? cukup dengan berkata syukur.

Tiada persoalan lagi. Hanya lafaz syukur yang perlu diungkapkan...

Read more...

Pertemuan PMRAM -JPMK, PMRAM minta penjelasan

>> Saturday, October 17, 2009

14 Oktober, Kaherah - Satu pertemuan antara wakil PMRAM dan BKAN dengan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) Prof. Dr. Jamil bin Hasyim telah diadakan di bilik tetamu bangunan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Pertemuan yang bermula pada pukul 9.15 pagi tersebut dihadiri oleh beberapa Badan Pengurus PMRAM yang diketuai oleh Saudara Shahrizan bin Mohd. Hazime selaku Pemangku Presiden PMRAM. Beliau ditemani oleh Saudara Mohd. Azrul bin Ismail Naib Presiden 1, Saudara Muhamad Zuhaili bin Saiman Naib Presiden 3 dan Saudara Mohd. Yazid bin Pardi Ketua Badan Pendidikan dan Komunikasi Bahasa.


Perjumpaan yang mengambil masa hampir 2 jam tersebut membincangkan tentang isu menggagalkan Majlis Pembacaan Kutub Sittah oleh JPMK. Beberapa orang Badan Pengurus serta YDP BKAN yang hadir meminta penjelasan tentang beberapa tuduhan yang tidak berasas oleh pihak JPMK terhadap majlis yang akan dijalankan.

Kata Saudara Mohd. Azrul bin Ismail selaku Timbalan Pengarah 1 bagi program tersebut, beliau mendapat makluman daripada pihak pengurus dewan ACC (Azhar Conference Centre) tentang satu faks yang dihantar oleh pihak JPMK kepada wakil Al-Azhar As-Syarif meminta supaya Majlis Pembacaan Kutub Sittah ini dibatalkan. Antara alasan yang diberikan adalah kerana PMRAM melaksanakan program tersebut tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pihak JPMK. Lebih mendukacitakan lagi apabila surat faks tersebut ditandatangani oleh Prof. Dr. Jamil bin Hasyim sendiri.

Dalam pertemuan tersebut beberapa tindakan dibincangkan dan dipersetujui oleh kesemua ahli mesyuarat yang hadir. Antara tindakan yang dipersetujui bersama ialah Prof. Dr. Jamil bin Hashim bersetuju untuk menghadiri satu sesi dialog terbuka di hadapan semua mahasiswa dan mahasiswi bagi menjelaskan keraguan dan kekeliruan di kalangan mahasiswa terutamanya peserta Majlis Pembacaan Kutub Sittah ini. Sesi dialog tersebut akan dimaklumkan kemudian oleh pihak PMRAM.

Selain isu Kutub Sittah ini, beberapa isu lain dibangkitkan untuk mendapatkan penjelasan yang terperinci. Antaranya ialah kebajikan mahasiswa baru yang terabai. Mereka dibiarkan tinggal sesama sendiri dan dilarang untuk bercampur dengan abang-abang lama disini. Hal tersebut telah menyebabkan mereka ditipu oleh orang arab dalam beberapa perkara. Isu ini dibangkitkan oleh Saudara Mohd. Ridhwan bin Abu Bakar YDP Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu dan Saudara Mohd. Hanafi bin Zulkapli YDP Majlis Kebajikan Keluarga Kedah.

Sebelum bersurai,Saudara Shahrizan selaku Pemangku Presiden mengharapkan agar pihak JPMK merujuk PMRAM terlebih dahulu sekiranya mendengar desas desus ahli terhadap program PMRAM yang akan dijalankan. Tindakan yang tidak professional akan menyebabkan jatuhnya mutu gerak kerja yang dijalankan. Lebih-lebih lagi apabila tindakan tersebut dilakukan oleh pihak yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

http://pmram.org/

Komen saya : Apakah mereka iaitu JPMK hadir bertugas di sini bagi memudahkan Para Pelajar untuk menuntut ilmu? fikir-fikirkan..bagi saya, jika perkara sebegini berlaku amat menyulitkan lagi ada la....

Read more...

Belajar dan berbakti

>> Friday, October 2, 2009

Buat pertama kalinya cuba brjinak-jinak menjejaki untuk menjadi pengerusi majlis peringat pesatuan pusat PMRAM. Sebuah pesatuan induk di bumi Mesir yang banyak berjasa menjaga seluruh mahasiswa dan mahasiswa yang berada di bumi Mesir ini, tanpa mengira latar belakang kepartian politik. Apabila disebut pertama kali, semestinya banyak kekurangan yang berlaku semasa berinteraksi dengan hadirin yang ramai begitu rupa.

Meskipun begitu, saya masih diperingat baru belajar. Ya. Memang baru belajar untuk bidang ini. Walaupun sebelum ini pernah juga jadi Mc untuk majlis-majlis, tapi main hentam saja. Buat kali ini memang dilatih.

Sewaktu majlis EGP '09 berlangsung dibuka oleh pihak PESAT PMRAM bagi yang berminat untuk latih diri menjadi Pengacara majlis, Moderator, Juru hebah dan sebagainya dinamakan sebagai Voice of PMRAM. saya memang berminat untuk sumbangkan tenaga bahagian ini. Jadi, saya daftarkan untuk temuduga diri. Akhirnya dipilih.

Alhamdulillah boleh belajar dan berbakti.

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP