KELEBIHAN BANGUN SOLAT MALAM

>> Sunday, March 22, 2009


Apakah kehebatan bangun solat di malam hari terutamanya di sepertiga malam yang akhir??Sehinggakan Rasulullah SAW sanggup melakukannya sehingga kedua-dua tapak kakinya pecah-pecah, sehinggakan juga Salehuddin Al-Ayyubi memilih mereka yang bangun malam sebagai barisan mujahidin yang paling hadapan untuk menggempur musuh, sehinggakan juga Umar Abd Aziz berkata berulang-ulang :"Bagaimana mata ini dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di antara dua tempat."


Saranan Rasulullah SAW

Dari Abu Hurairah R.A berkata:-

".....Kekasihku Rasulullah SAW telah berwasiat agar aku tidak tidur sebelum solat witir." (HR Bukhari)

Dari Abdulullah bin 'Amr bin Al-'Ash Radhiallahu 'anhuma, katanya:-

"Rasulullah SAW bersabda:- Hai Abdulullah, janganlah engakau menjadi seperti si Fulan itu, dulu ia suka sekali bangun bersolat di waktu malam, tetapi kini meninggalkan bangun solat waktu malam itu." (Muttafaqun 'alaih)

Dari Aisyah R.A katanya:-

"Nabi SAW itu berdiri untuk bersolat malam, sehinggakan pecah-pecah kedua-dua tapak kakinya. Aku berkata kepadanya ; "Mengapa kamu mengerjakan sedemikian ini Ya Rasulullah, padahal sudah diampunkan bagi kamu dosa-dosa kamu yang dahulu dan yang kemudian?" Sabda baginda SAW : "Tidakkah aku ini wajar menjadi seorang hamba yang bersyukur?" (Muttafaqun 'alaih)

Dari Ibnu Mas'ud berkata:-

"Ada seorang lelaki yang disebut-sebut di sisi Nabi SAW, iaitu bahawa orang tersebut tidur di waktu malam sampai ke pagi (yakni tidak bangun mengerjakan solat malam). Lalu baginda SAW bersabda : "Orang itu sudah dikencing oleh syaitan pada kedua-dua telinganya." (Muttafaqun 'alaih)

Dari Abu Hurairah R.A berkata:-

Rasulullah SAW bersabda :- "Syaitan itu memberikan ikatan pada hujung kepala seseorang diantara kamu semua sebanyak tiga ikatan pada waktu tidur. Ia membuat ketentuan pada setiap ikatan itu dengan berkata : Engkau memperoleh malam yang panjang, maka tidurlah terus!. Sekiranya orang itu bangun lalu berzikir kepada Allah Taala maka terurailah sebuah ikatan pada dirinya, selanjutnya jikalau dia terus berwudhu', lalu terurai pula ikatan satunya lagi dan seterusnya jikalau ia bersolat, akan terurailah ikatan seluruhnya, sehingga berpagi-pagi ia telah menjadi bersemangat serta berhati gembira. Tetapi jikalau ia tidak melakukan sebagaimana yang tersebut di atas, maka ia berpagi-pagi menjadi orang yang berhati buruk serta pemalas." (Muttafaqun 'alaih)

Dari Abdullah bin 'Amr bin Al-'Ash bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya :-

"Solat yang paling dicintai Allah ialah solatnya Daud dan puasa yang paling dicintai Allah ialah puasanya Daud. Ia tidur separuh malam, bangun solat dari sepertiganya dan tidur seperenamnya, ia berpuasa sehari dan berbuka sehari." (Muttafaqun 'alaih)

Dari Aisyah R.A berkata "Bahawasanya Nabi SAW itu tidur di permulaan malam dan bangun pada akhir malam lalu bersolat." (Muttafaqun 'alaih)

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP