Islam perlu subur kembali..

>> Sunday, March 7, 2010



Salam ukhwah...

Hati saya semakin gerun untuk pulang ke Malaysia. Bukan takut kerana kena baca kitab dekat masjid. Bukan juga takut dek kerana baca talqin pada orang kampung. Tetapi takut akan suasana negara Malaysia sekarang ini yang makin menjadi-jadi gejala sosial dan rosaknya akhlak.

Setiap kali saya buka akhbar tempatan melalui online internet, pasti saya akan buka pada item jenayah. Ini kerana saya ingin menilai samada isu tersebut semakin hari semakin susut atau bertambah? Terbukti bahawa isu jenayah semakin bertambah di dada-dada akhbar.

Dalam bacaan saya setiap hari, pertamanya saya akan menumpukan pandangan pada tajuk akhbar tersebut, seterusnya saya akan melihat pula pada lokasi yang berlaku. Lega kerana sanak saudara, rakan taulan dan kenalan-kenalan saya tidak terpampar di dada akhbar. Itulah doa saya. Dan saya yakin juga itu semua doa kita semua supaya kehidupan kita dilindungi Allah SWT.

Tetapi setakat mana pengharapan kita terhadap Allah SWT? Sekadar berdoa sahaja? Walaupun doa merupakan 'silah' bagi orang mukmin, tetapi perlu diselami konsep pemahamannya. Bukan sekadar bergantung harap tanpa usaha. Malah Islam mengajar kita untuk berusaha dalam segenap perkara.

Siapa yang bertanggungjawab atas semua ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah kita semua. PEMIMPIN, rakan taulan, sanak saudara, adik beradik, ibu bapa, suami isteri, jiran tetangga dan semuanya perlu bertanggungjawab atas hal ini. Kelak kita akan disoal mengenai diri kita terhadap menyampaikan Islam. Ingat! Biarpun kubur lain-lain. Neraka dan syurga itu sajalah pilihan kita.

Bermula sekarang kita perlu sedar untuk membina jiwa Islam didalam diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita. Kembali kepada perundangan Allah SWT. HukumanNya sahaja yang adil dan memberi kesan positif. Imbau sejarah Islam yang silam sebagai panduan.

Berkata Syeikh Hasan Hudaibi :"Dirikanlah Daulah Islamiyyah di dalam jiwa kalian, nescaya tertegaknya Daulah Islamiyah di atas bumi kalian"

Read more...

Adakah kita pejuang?

>> Thursday, March 4, 2010


Salam ukhwah fillah...

"Aku seorang pejuang" dan "aku ingin menjadi seorang pejuang". Dua ayat ini berbeza sama sekali dari sudut makna tersiratnya. Walaupun kedua-duanya bercita-cita menjadi pejuang, akan tetapi kehidupan mereka saling tidak sama antara satu sama lain. Adapun "aku seorang pejuang" adalah individu yang sudah mengakui bahawa ia seorang pejuang. Manakala "aku ingin menjadi pejuang" adalah individu yang belum menjadi pejuang dan bercita-bercita untuk kearah itu.

Seorang pejuang agama Allah bukanlah calang-calang orang. Gelaran tersebut begitu tinggi nilainya. Bergantung kepada kekuatan rohani dan jasmani. Sekiranya seseorang itu menepati ciri-ciri pejuang agama Allah SWT. Nescaya ia tergolong diantara orang-orang yang dekat dan hampir kepada Allah Azza Wa Jalla.

Teringat saya satu kisah mengenai panglima Toriq Bin Ziyad yang cuba memilih pejuang-pejuangnya mengikuti beliau bersamanya ke bumi Andalus. Beliau hanya diminta untuk memilih sebahagian kecil sahaja dari tentera-tentera Islam ketika itu. Kebijaksanaan beliau dalam membuat pilihan tersebut mengagumkan pemerintah ketika itu. Beliau bukan saja memilih orang yang perkasa dari segi fizikal, malah beliau menanyakan kepada tentera-tentera yang berada dihadapan beliau mengenai ibadah yang dituntut.

Pertama, beliau menanyakan kepada sekumpulan tentera tersebut mengenai solat fardhu yang mereka tunaikan. Yang lunas solatnya, boleh mengikutinya. Akan tetapi bilangan tersebut masih melebihi had yang ditetapkan. Kemudian beliau meminta kepada mereka yang tidak melazimi solat sunat untuk duduk, dan yang berbaki menjadi pilihannya. Namun lebihan bilangan masih berlaku. Sejurus kemudian, beliau meminta kepada mereka yang tidak berpuasa sunat untuk duduk, dan yang berbaki mengikutinya. Alhamdulillah, akhirnya bilangan mereka cukup untuk berangkat ke bumi Andalus.

Cuba sahabat-sahabat perhatikan, betapa ketatnya pemilihan yang dibuat oleh panglima Toriq Bin Ziyad dalam memilih pejuangnya. Bukan setakat kuat dan gagah lagi berani dari segi fizikal. Tetapi kukuhnya iman dan aqidah tenteranya menjadi pilihan hati beliau. Inilah sebenar-benar pejuang. Tidak cukup dengan laungan saja, bahkan amalan harian mereka membuktikan bahawa mereka benar-benar pejuang terpilih.

Selain kisah ini juga, terdapat kisah mengenai panglima Solahuddin Al-Ayyubi dalam memerhatikan tenteranya di setiap khemah pada waktu malam. Beliau begitu takut terhadap kelunturan iman tenteranya. Kerana beliau percaya dan yakin bahawa kemenangan bukanlah datang dari kekuatan zahiriah. Tetapi kemenangan datangnya dari pertolongan Allah SWT. Dengan itu, beliau amat takut sekali akan kelemahan iman tenteranya yang boleh mengakibatkan kekalahan di dalam medan pertempuran.

Lihatlah bagaimana umat Islam dahulu begitu kuat mempertahan aqidah Islamiyyah berbanding kita sekarang ini. Mungkin ada yang mampu menjadi demikian. Tetapi alangkah sedihnya sekiranya masih ramai melaungkan "aku ingin berjuang" pada luaran saja tetapi bukan pada dalamannya. Amatlah rugi sekali...

Read more...

Lebih Kurang Kurang Lebih

Salam ukhwah fillah...

Baru-baru ini saya sempat berbual dengan sahabat saya. Rupa-rupanya beliau begitu peka dengan keadaan saya sekarang. Mungkin kerana saya merupakan salah seorang dari sahabatnya yang dicampakkan rasa ikatan ukhwah fillah padanya. Tetapi saya pula sebaliknya. Kurang mengambil tahu perkembangannya. Rasa malu menebal di muka saya. Tetapi secara tidak langsung perkara ini me'muhasabah'kan diri saya. Terima kasih sahabat.

Kekuasaan dalam menyatukan hati-hati kita bukanlah datang dari kemampuan dan keupayaan kita, akan tetapi ianya datang dari kehendak Allah SWT. Sekiranya ia mengizinkan, maka bersatulah kita. Sekiranya sebalik, maka berlaku khilaf antara kita. Dan apa yang penting, keimanan kepada Allah akan memberikan imbuhan seperti ini.

Firman Allah SWT : "Dan yang mempersatukan hati (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Teringat lagi kata-kata yang keluar dari mulut sahabat saya "engko ni lebih kurang sama je dengan us ** (musyrif aku di Mansurah dulu2)". Kemudian saya menyoalkan kesamaan yang dimaksudkan, beliau membalas "lebih kurang kurang lebih kecuali satu je belum dapat". Beliau tersenyum seolah-olah menganggap saya mengejar mendapatkan 'satu' yang belum dapat. Saya kurang mengerti penyataan tersebut pada mulanya. Dan apabila diperjelaskan beliau barulah saya mengerti apa yang dimaksudkannya.

Kalau Us Syafiq selalu diperkatakan orang mengenai persamaannya dengan Us Adlan, saya kira serupa. Tetapi sekiranya persamaan saya dengan murabbi-murabbi saya, saya kira jauh perbezaannya sama sekali. Mungkin jejak langkah (berpesatuan) mereka yang saya ikuti itu merupakan cabang didikan dari mereka. Walaupun saya pernah ditaklifkan dengan amanah-amanah dalam persatuan sama dengan murabbi saya diamanahkan dulu. Tetapi saya masih kurang dan tidak lebih dari mereka.

Betapa hina dan rendahnya diri ini bilamana difikirkan kembali. Namun bagaimana pula persamaan diri kita dengan para sahabat dan para alim ulama'? Adakah kita tidak mahu menjadi seperti mereka? Tidak mahukah kita mencari persamaan kita antara para solihin dan para mukminin? Walaupun tidak mendapat persamaan yang penuh diantara kita dan para mukminin dan solihin, sekurang-kurang kita mendapat "lebih kurang kurang lebih". Tepuk dada tanya iman.

Read more...

Perutusan Maulidur Rasul SAW

>> Friday, February 26, 2010

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Selawat dan salam buat penghulu para pejuang, Rasul tercinta Muhammad s.a.w., para sahabat dan keluarga baginda, serta mereka yang mengikuti jalannya serta mencontohi perilaku baginda hingga ke hari pembalasan.

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita senantiasa terkenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.

Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini?

Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (As-Saba’: 28)

Baginda Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.

Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431.

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG,
PRESIDEN PAS

Read more...

Pengertian As-Sunnah

>> Tuesday, February 16, 2010

بسم الله الرحمن الرحيم

Perkataan [ As Sunnah ] jika dilihat dari sudut bahasanya memberi maksud [ Satu jalan yang diikuti . Samaada jalan itu jalan yang baik atau jalan yang jahat . Baik dan jahatnya itu dilihat kepada bagaimana perkataan [ As Sunnah ] itu digunakan .

Seperti contoh : Sabda Nabi saw dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam shohihnya , dari Jarir bin Abdullah :

من سن في الإسلام سنة حسنة فعمل بها كتب له مثل أجر من عمل بها و لا ينقص من أجورهم شئ و من سن في الإسلام سنة سيئة فعمل بها بعده كتب عليه مثل وزر من عمل بها و لا ينقص من أوزارهم شئ

Barang siapa yang telah melakukan suatu perkara ( atau melorongkan satu jalan ) di dalam Islam , sebagai perkara ( atau jalan ) kebaikan lalu diamalkannya ( oleh orang yang ditunjukkinya ) , nescaya ditetapkan baginya pahala seperti mana pahala orang yang mengamalkannya ( kebaikan tersebut ) dan tidaklah mengurangkan pahala mereka sedikit pun dan barangsiapa yang telah melakukan suatu perkara ( atau melorongkan satu jalan ) di dalam Islam , sebagai perkara ( atau jalan ) kejahatan lalu kejahatan itu dilakukan oleh orang lain nescaya ditetapkan ke atasnya dosa seperti dosa orang yang melakukannya dan tidak sedikitpun mengurangkan dosa mereka .

Secara ringkas kita bahagikan pandangan - pandangan ulama' berkait pengertian sunnah secara umum kepada beberapa kategori .

As Sunnah Menurut pandangan Ulama' Usul


As Sunnah adalah sumber perundangan Islam selain Kitab suci Al Quran
dan ia adalah suatu yang datang dari Nabi Muhammad saw . Samaada perkataan , perbuatan atau diamnya [ taqrir ] Nabi saw terhadap sesuatu perkara , ia merupakan as Sunnah . Dalam pengertian yang serupa as Sunnah juga merupakan penunjuk cara dari Nabi saw untuk memahami agama Allah swt dan bagaimana untuk melaksanakannya .

As Sunnah menurut pandangan Ulama' al Hadis

Sedikit penambahan dalam pengertian as Sunnah menurut pandangan ulama' hadis sekira - kira suatu yang diktibarkan sebagai sunnah ialah apa yang disandarkan kepada Nabi saw samaada perkataan , perbuatan , diam , sifat atau sirah [ perjalanan hidupnya ] . Demikianlah sunnah menurut pandangan ulama' hadis yang mengandungi 5 jenis yang disebutkan tadi .

As Sunnah menurut pandangan Ulama' Feqah

Sunnah dalam pengertian ulama' Feqah ialah suatu yang menjadi tuntutan syara' namun ianya bukanlah satu kemestian [ غير جازم ] untuk melakukankannya sekira - kira diberi pahala kepada pelakunya dan tidaklah berdosa kepada mereka yang meninggalkannya . Sebagai contoh puasa enam dibulan syawal selepas hari raya aidil fitri , ianya disebut sunnah bukan wajib .

Kesimpulannya :

As Sunnah di sisi ulama' usul adalah satu dalil daripada dalil - dalil Hukum Syara' . Sementara sunnah di sisi ulama' Feqah [ Fuqaha' ] ialah satu hukum daripada hukum-hukum syara'.

As Sunnah di satu sudut pandangan yang lain juga bermaksud syariat yang dibawa oleh nabi saw dan ia adalah suatu yang berlawanan dengan bida'ah [ amal yang direka - reka dalam perkara ibadah ] . Pengertian jelas kita lihat dalam satu hadis Nabi saw. yang diriwayatkan oleh Abu Dawud , Ibnu Majah dan Tarmizi dan katanya Hadis ini Hasan Sohih :

عن العرباض بن سارية يقول رسول الله صلى الله عليه وسلم
أنه من يعش منكم فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسني و سنة الخلفاء الراشدين من بعدي
عضوا عليها بالنواجذ و إياكم و محدثات الأمور فإن كل بدعة ضلالة

Maksudnya : dari Irbadh bin Sariah Nabi saw bersabda : Sesungguhnya sesiapa yang hidup [ panjang umur ] dikalangan kamu nescaya ia akan melihat berlakunya perselisihan [ konflik atau krisis ] yang dahsyat [ dikalangan ummat manusia ] maka diwajibkan keatas kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah khulafa' ar Rasyidin yang datang selepasku . Genggamlah [ sunnah ] itu dengan geraham seerat - eratnya dan waspadalah kamu terhadap perkara yang diada - adakan . maka sesungguhnya setiap yang bid'ah [ perkara yang diada - adakan dalam ibadah ] adalah suatu kesesatan .

Sumber :

Read more...

Kahwin lagi....

Salam muhibbah...

Sekali lagi majlis perkahwinan berlangsung pada bulan ini dan kedua-dua pasangan pengantin tersebut merupakan mahasiswa Pengajian Islam dan Perubatan Mansurah. Majlis perkahwinan diadakan di Kaherah kelmarin dan saya ingin memohon jutaan kemaafan kepada pihak pengantin kerana tidak dapat menghadiri majlis kalian. Urusan yang lebih penting menggamit saya. Apa-apa pun, saya ingin ucapkan Barakkallahu lakuma wa barakallahu 'alaikuma wa jama'a bainakuma fi khair..Ameeeeen Ya Robbal 'Alamin..

TAHNIAH BUAT

Muhammad bin Ali
♥
Tengku Nur Aqilah bt Tengku Nikman


Semoga kalian berbahagia hingga ke anak cucu....Ameen

Read more...

Kolokium Ilmuan (Q)

>> Sunday, February 14, 2010

Kolokium Ilmuan merupakan satu program thaqafah atau ilmiah yang dianjurkan oleh Unit Dakwah dan Pembangunan Insan Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah. Program ini lebih dikhususkan untuk mahasiswa/wi baru tahun 1 Al-Azhar, akan tetapi secara umumnya ia dibuka bagi semua lapisan mahasiswa yang sudi hadir tidak kira apa jua bidang pengajian dan juga tahun pengajian.

Program Kolokium atau secara mudahnya dikenali sebagai Q adalah lebih mengutamakan thaqafah dan ilmuan buat mahasiswa/wi baru, Ianya diadakan secara berperingkat dan mempunyai lavel-level yang disusun oleh PMRAM. Ia bukan memakan masa sehari dua untuk menghabiskan level-level ini, bahkan berbulan-bulan. Itulah kelebihannya. Bukan saja-saja disusun begitu. Tetapi ia mempunyai silibus-silibus pengajian yang sesuai mengikut keadaan semasa.

Selain pengisian berbentuk diskusi, ceramah dan forum. Diselitkan juga aktiviti menguji tahap kefahaman dengan pengisian berbentuk GKB mengikut pembahagian kumpulan usrah. Pembentangan hasil perbincangan gerak kerja akan dilakukan dan saya amat menyukai slot-slot sebegini. Ini kerana kita dapat menilai tahap kefahaman hasil dari pengisian yang berbentu diskusi, ceramah, forum dan sebagainya.

Buat akhirnya, harapan saya buat seluruh mahasiswa Mansurah terutamanya mahasiswa baru agar dapat menghadirkan diri ke program Q yang bakal diadakan nanti. Walaupun ianya diadakan secara berperingkat, perlu kita mengkaji apakah keperluannya ia diadakan sedemikian rupa. Mungkin sahabat-sahabat akan merasa benefitnya apabila berada lama di Mesir nanti. Apa-apa pun saya berharap agar kita tidak menyesal di kemudian hari. Ini bukan ayat promosi (walaupun terkenal dengan panggilan promoter) tetapi ini adalah suasana realiti yang pernah saya tempuhi sebelum ini. Rasa rugi pun ada. Insya Allah saya akan menghadirinya lagi buat kali ini.

Pesanan: Buat ahli usrah, tolong hadirkan diri ke program Q nie nanti. Kalo tak, GKB tak kan sempurna akibat tak cukup orang...Jangan nyesal nanti...

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP