Selamat Hari Raya Aidilfitri

>> Saturday, September 11, 2010

Yang pergi tetap pergi, yang datang tetap datang. Itulah roda kehidupan. Begitu juga dengan perjalanan bulan-bulan Islam, bulan Ramadhan yang dikecapi selama sebulan ini akan pergi meninggalkan kita dan dihadiri dengan bulan seterusnya iaitu bulan Syawal.

Dikesempatan Syawal yang ada ini, ana ingin memohon jutaan kemaafan diatas kesilapan yang dilakukan selama ini, maaf zahir dan batin. Begitu juga dengan penulisan ana di dalam blog ini yang menyepi selama beberapa waktu atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Akhir kalam, SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI ## MAAF ZAHIR DAN BATIN

Read more...

Mahasiswi Qiraat dibelenggu..

>> Tuesday, April 27, 2010

Assalamualaikum...

Semenjak dua menjak ini, pelbagai isu yang dibangkitkan mengenai mahasiswa Al-Azhar di antara isu pemusatan pelajar wafidin di bumi Kaherah. Dan sekarang pula isu pelajar Qiraat Al-Azhar Mansurah tahun 1 tidak dibenarkan mengambil peperiksaan pada tahun ini. Masalah ini berlaku akibat fail dari safarah masih belum sampai ke tangan pihak maahad. Rentetan kelembapan dalam bekerja ini menyebabkan pihak maahad mengambil keputusan untuk menyekat mereka dari mengambil peperiksaan.

Kes ini saya sudah menjangkakan dari tahun sebelumnya lagi. Kalau diperhatikan, pada tahun lepas juga isu kelewatan menghantar fail maklumat pelajar dari pihak safarah begitu lambat. Kes yang sama berulang lagi. Cuma pendekatan pihak kuliah pada tahun lepas agak longgar dengan memberi peluang kepada pelajar Malaysia untuk menduduki peperiksaan walaupun fail maklumat pelajar belum sampai ke tangan mereka. Tetapi pada kali ini, pihak maahad tidak berdiam diri dalam membiarkan isu ini berpanjangan. Mungkin mereka ingin mengajar pihak kedutaan untuk bekerja dengan pantas, cekap dan teliti. Kalau dibiarkan kes ini berpanjangan tanpa mengenakan apa-apa tindakan mungkin 100 tahun mendatang pun mereka (pihak maahad) akan berurusan sedemikian.

Buat akhirnya, saya mendoakan agar semuanya berjalan dengan teratur, berhemah dan bijaksana. Jangan biarkan mana-mana pihak dizalimi.

Read more...

Muktamar Wafidin Mansurah

>> Monday, April 26, 2010

student Al-Azhar yang hadir

amid-amid dan wakil-wakil kuliyyah


Assalamualaikum.



Firman Allah SWT:

وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَڪُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (113)

[HUD:113]


Bagi pendirian kebanyakan mahasiswa/wi Malaysia di Mansurah amat menentang keras dengan isu ini. Kerana isu ini akan menimbulkan permasalahan yang cukup besar pada masa akan datang. Antara faktor yang disepakati kebanyakan mahasiswa/wi :

1) Ekonomi dan penempatan.

Bagi mahasiswa/wi Melayu di Al Azhar Mansurah terdapat lebih kurang 27 pasangan yang telah berkhawin. Keadaan ini tentu akan bersangkut paut dengan permasalahan ekonomi dan penempatan. Bagi mahasiswa/wi yang belum mendirikan rumah tangga tentu permasalahan ini boleh ditangani walaupun terdapat sedikit kepahitan. Bagi mereka yang sudah berumahtangga ini merupakan cabaran yang terbesar terhadap mereka. Selain itu , sebahagian mahasiswa/wi Al Azhar tidak mendapat bantuan kewangan yang kukuh dan stabil. Kebanyakan dari mereka hanya mengharap saluran kewangan dari ibubapa.

Selain itu, penempatan yang sukar diperolehi di Kaherah serta mahal dan akan memberi masalah yang besar kepada rumah-rumah negeri dan Badan Kebajikan Anak Negeri kerana isu perpindahan ini bukan hanya berlaku kepada muhafazah (cawangan) Mansurah sahaja tetapi di seluruh 7 muhafazah yang lain yang terdapat mahasiswa/wi Melayu Al Azhar. Kaherah akan padat dengan pelajar wafidin (luar negara) dari seluruh dunia

2)Silibus dan Takhasus

Sebelum ini mahasiswa/wi wafidin (luar negara) Al Azhar diberikan pilihan untuk mengikuti bentuk takhasus (fakulti) yang di tawarkan . Seperti Fakulti Bahasa Arab, Fakulti Usuludin dan Fakulti Syariah . Di dalam cabang Fakulti Usuludin terdapat beberapa takhasus, seperti Aqidah Falsafah, Dakwah, Hadis serta Tafsir. Mengikut maklumat yang diperolehi. Perpindahan semua mahasiswa/wi wafidin (luar negara) untuk ditempatkan di satu fakulti akan menjejaskan sistem pembelajaran dan tiada pilihan bagi mengikuti bidang yang diminati.

Silibus pembalajaran akan berubah. Bagi mereka yang berada di tahun 4 pengajian , bagaimana nasib mereka? Adakah mereka terpaksa memulakan pembelajaran mereka dari mula?

3) Qiraat di Mansurah

Mansurah adalah satu-satunya tempat yang terdapat pelajar qiraat bagi mahasiswi . Jika perpindahan pengajian ini diteruskan , akan memberi kesan dalam isu keselamatan . Selama ini kes kecurian dan pecah rumah kerap berlaku.

Maka pihak pengurusan Al Azhar Mansurah telah mengadakan Majlis Muktamar Wafidin bagi menjelaskan isu ini. Antara pihak pengurusan yang hadir :

1- Amid Kuliyyah Ususludin dan Dakwah Universiti Al Azhar Mansurah
2- Amid Kuliyyah Bahasa Arab Universiti Al Azhar Mansurah
3- Amid Kuliyyah Dirasat Dan Islamiyyah Dan Bahasa Arab (Mahasisiwi)
4- Semua Wakil Kuliyyah
5- Rais Syuun Wafidin
6- Mudir Tahrir
7- Doktor dan Doktorah

Hari ini amat menggemparkan apabila Muktamar Wafidin yang berlangsung dengan penuh panas. Namun apa yang saya mahu ulas di sini setelah mana selesai Muktamar Wafidin tadi, saya sempat bertanya pandangan dari salah seorang Rais Qisim Lughah Al-Arabiyah iaitu Al-Fadhil Al-Ustaz Doktor Syaikh Ali Luqom.

Di mana beliau menampakkan kekecewaan pada Muktamar ini. Dan sempat saya mendengar ungkapan beliau: "Saya tidak redha dengan mujtama' hari ini, jika berlaku perpindahan lebih baik kamu semua pulang ke Malaysia, sebab mereka ini tidak mahukan Islam". Namun beliau sempat mencadangkan kepada kami Wafidin supaya berpakat dengan semua furuk Muhafazah berkerjasama menyatakan pandangan dengan menghantar surat kepada Rais Al-Azhar untuk menyatakan bantahan.

Sebelum itu saya tergamam dengan kalam Amid Kuliyah Usuluddin Wad Da'wah iaitu Al-Fadhil Al-Ustaz Doktor Ismail Hammad dalam ucapannya yang menyatakan: "Saya harap pelajar-pelajar Usuluddin ada di sini untuk menyatakan hak kamu. Dan harap Wafidin harus bergaul dengan masyarakat arab Mesir supaya dapat menguasai Bahasa Arab dengan baik dan kemudian bahasa ini boleh di bawa balik ke tempat kamu".

Begitu juga Wakil Amid Kuliyah Al-Lughah Al-Arabiyah Al-Fadhil Al-Ustaz Mun'im juga secara jelas menyatakan ketidaksetujuan beliau.

Namun apa yang menyedihkan apabila Ustaz Usman Al-Amani yang hanya dapat bercakap sedikit setelah mana pembesar suara yang dipegangnya dirampas. Termasuk beberapa persoalannya yang tidak dapat penjelasan yang jelas oleh pihak Rais Syuun Wafidin apabila ditanya tentang siapakah yang menetapkan Qarar perpindahan ini dan apakah puncanya?

Apa yang pasti Ustaz Usman Al-Amani salah seorang wakil Malaysia yang dapat bercakap menunjukkan pendirian kami yang enggan berpindah kerana kami begitu puas hati dengan pembelajaran di Universiti Al-Azhar As-Syarif cawangan Mansurah. Juga rampasan pembesar suara oleh seorang lelaki Mesir yang tidak dikenali ketika mana seorang rakan kita dari Senegal sedang bercakap. Beliau sempat menyatakan tentang ketenangan yang kami rasai belajar di sini sebelum rampasan alat pembesar suara dibuat. Dan pada masa yang sama seluruh wafidin mengetuk-ngetuk meja ketika itu. Dan senantiasa bertepuk tangan menyokong 2 orang wakil Wafidin Malaysia dan Senegal.

Saya di antara orang yang ingin menyatakan pandangan, tetapi saya dijelaskan oleh pihak pengurusan yang ada di situ supaya cukup untuk seorang sahaja pelajar kamu bercakap. Setelah Al-Fadhil Ustaz Usman selesai bercakap, tiba-tiba beliau ditegur oleh pihak pengurusan di situ bahawa pihak kita tidak ada adab dalam bercakap.

Apa yang pasti kita mempunyai peluang lagi pada hari Selasa ini. Mungkin peluang yang tipis. Namun kebebasan suara kita di Al-Azhar mesti ada. Terima kasih kepada para ahli DPMM semua yang dapat sama-sama menunjukkan pendirian kita semua. Waallahu'alam.

Sumber : http://adham-alharaki.blogspot.com/2010/04/majlis-muktamar-wafidin-sejarah-air.html

Read more...

Kenangan usrah

>> Friday, April 23, 2010

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana diberi ruang masa untuk menulis input baru pada kali ini. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli kerabat baginda, para sahabat Radiallu 'Anhum dan seluruh muslimin serta muslimat.

Pada tanggal 21 April 2010, kumpulan usrah yang bernama Imam Muslim telah bergabung tenaga dengan kumpulan usrah Imam Sayuthi untuk mengadakan usrah amali berbentuk jaulah. Alhamdulillah, sambutan yang begitu memberansangkan dan kami dapat memupuk semangat kesatuan yang ada.

Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan bantuan. Semoga Allah membalas jasa kalian dan diberi rahmatNya.


bersama cucu Al-Imam Syeikh Sya'rawi

di maqam Syeikh Sya'rawi


maqam Muhammad Bin Abu Bakar

melihat kejayaan ummat mendatang


Ra'sul Bar

Read more...

Islam perlu subur kembali..

>> Sunday, March 7, 2010



Salam ukhwah...

Hati saya semakin gerun untuk pulang ke Malaysia. Bukan takut kerana kena baca kitab dekat masjid. Bukan juga takut dek kerana baca talqin pada orang kampung. Tetapi takut akan suasana negara Malaysia sekarang ini yang makin menjadi-jadi gejala sosial dan rosaknya akhlak.

Setiap kali saya buka akhbar tempatan melalui online internet, pasti saya akan buka pada item jenayah. Ini kerana saya ingin menilai samada isu tersebut semakin hari semakin susut atau bertambah? Terbukti bahawa isu jenayah semakin bertambah di dada-dada akhbar.

Dalam bacaan saya setiap hari, pertamanya saya akan menumpukan pandangan pada tajuk akhbar tersebut, seterusnya saya akan melihat pula pada lokasi yang berlaku. Lega kerana sanak saudara, rakan taulan dan kenalan-kenalan saya tidak terpampar di dada akhbar. Itulah doa saya. Dan saya yakin juga itu semua doa kita semua supaya kehidupan kita dilindungi Allah SWT.

Tetapi setakat mana pengharapan kita terhadap Allah SWT? Sekadar berdoa sahaja? Walaupun doa merupakan 'silah' bagi orang mukmin, tetapi perlu diselami konsep pemahamannya. Bukan sekadar bergantung harap tanpa usaha. Malah Islam mengajar kita untuk berusaha dalam segenap perkara.

Siapa yang bertanggungjawab atas semua ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah kita semua. PEMIMPIN, rakan taulan, sanak saudara, adik beradik, ibu bapa, suami isteri, jiran tetangga dan semuanya perlu bertanggungjawab atas hal ini. Kelak kita akan disoal mengenai diri kita terhadap menyampaikan Islam. Ingat! Biarpun kubur lain-lain. Neraka dan syurga itu sajalah pilihan kita.

Bermula sekarang kita perlu sedar untuk membina jiwa Islam didalam diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita. Kembali kepada perundangan Allah SWT. HukumanNya sahaja yang adil dan memberi kesan positif. Imbau sejarah Islam yang silam sebagai panduan.

Berkata Syeikh Hasan Hudaibi :"Dirikanlah Daulah Islamiyyah di dalam jiwa kalian, nescaya tertegaknya Daulah Islamiyah di atas bumi kalian"

Read more...

Adakah kita pejuang?

>> Thursday, March 4, 2010


Salam ukhwah fillah...

"Aku seorang pejuang" dan "aku ingin menjadi seorang pejuang". Dua ayat ini berbeza sama sekali dari sudut makna tersiratnya. Walaupun kedua-duanya bercita-cita menjadi pejuang, akan tetapi kehidupan mereka saling tidak sama antara satu sama lain. Adapun "aku seorang pejuang" adalah individu yang sudah mengakui bahawa ia seorang pejuang. Manakala "aku ingin menjadi pejuang" adalah individu yang belum menjadi pejuang dan bercita-bercita untuk kearah itu.

Seorang pejuang agama Allah bukanlah calang-calang orang. Gelaran tersebut begitu tinggi nilainya. Bergantung kepada kekuatan rohani dan jasmani. Sekiranya seseorang itu menepati ciri-ciri pejuang agama Allah SWT. Nescaya ia tergolong diantara orang-orang yang dekat dan hampir kepada Allah Azza Wa Jalla.

Teringat saya satu kisah mengenai panglima Toriq Bin Ziyad yang cuba memilih pejuang-pejuangnya mengikuti beliau bersamanya ke bumi Andalus. Beliau hanya diminta untuk memilih sebahagian kecil sahaja dari tentera-tentera Islam ketika itu. Kebijaksanaan beliau dalam membuat pilihan tersebut mengagumkan pemerintah ketika itu. Beliau bukan saja memilih orang yang perkasa dari segi fizikal, malah beliau menanyakan kepada tentera-tentera yang berada dihadapan beliau mengenai ibadah yang dituntut.

Pertama, beliau menanyakan kepada sekumpulan tentera tersebut mengenai solat fardhu yang mereka tunaikan. Yang lunas solatnya, boleh mengikutinya. Akan tetapi bilangan tersebut masih melebihi had yang ditetapkan. Kemudian beliau meminta kepada mereka yang tidak melazimi solat sunat untuk duduk, dan yang berbaki menjadi pilihannya. Namun lebihan bilangan masih berlaku. Sejurus kemudian, beliau meminta kepada mereka yang tidak berpuasa sunat untuk duduk, dan yang berbaki mengikutinya. Alhamdulillah, akhirnya bilangan mereka cukup untuk berangkat ke bumi Andalus.

Cuba sahabat-sahabat perhatikan, betapa ketatnya pemilihan yang dibuat oleh panglima Toriq Bin Ziyad dalam memilih pejuangnya. Bukan setakat kuat dan gagah lagi berani dari segi fizikal. Tetapi kukuhnya iman dan aqidah tenteranya menjadi pilihan hati beliau. Inilah sebenar-benar pejuang. Tidak cukup dengan laungan saja, bahkan amalan harian mereka membuktikan bahawa mereka benar-benar pejuang terpilih.

Selain kisah ini juga, terdapat kisah mengenai panglima Solahuddin Al-Ayyubi dalam memerhatikan tenteranya di setiap khemah pada waktu malam. Beliau begitu takut terhadap kelunturan iman tenteranya. Kerana beliau percaya dan yakin bahawa kemenangan bukanlah datang dari kekuatan zahiriah. Tetapi kemenangan datangnya dari pertolongan Allah SWT. Dengan itu, beliau amat takut sekali akan kelemahan iman tenteranya yang boleh mengakibatkan kekalahan di dalam medan pertempuran.

Lihatlah bagaimana umat Islam dahulu begitu kuat mempertahan aqidah Islamiyyah berbanding kita sekarang ini. Mungkin ada yang mampu menjadi demikian. Tetapi alangkah sedihnya sekiranya masih ramai melaungkan "aku ingin berjuang" pada luaran saja tetapi bukan pada dalamannya. Amatlah rugi sekali...

Read more...

Lebih Kurang Kurang Lebih

Salam ukhwah fillah...

Baru-baru ini saya sempat berbual dengan sahabat saya. Rupa-rupanya beliau begitu peka dengan keadaan saya sekarang. Mungkin kerana saya merupakan salah seorang dari sahabatnya yang dicampakkan rasa ikatan ukhwah fillah padanya. Tetapi saya pula sebaliknya. Kurang mengambil tahu perkembangannya. Rasa malu menebal di muka saya. Tetapi secara tidak langsung perkara ini me'muhasabah'kan diri saya. Terima kasih sahabat.

Kekuasaan dalam menyatukan hati-hati kita bukanlah datang dari kemampuan dan keupayaan kita, akan tetapi ianya datang dari kehendak Allah SWT. Sekiranya ia mengizinkan, maka bersatulah kita. Sekiranya sebalik, maka berlaku khilaf antara kita. Dan apa yang penting, keimanan kepada Allah akan memberikan imbuhan seperti ini.

Firman Allah SWT : "Dan yang mempersatukan hati (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Teringat lagi kata-kata yang keluar dari mulut sahabat saya "engko ni lebih kurang sama je dengan us ** (musyrif aku di Mansurah dulu2)". Kemudian saya menyoalkan kesamaan yang dimaksudkan, beliau membalas "lebih kurang kurang lebih kecuali satu je belum dapat". Beliau tersenyum seolah-olah menganggap saya mengejar mendapatkan 'satu' yang belum dapat. Saya kurang mengerti penyataan tersebut pada mulanya. Dan apabila diperjelaskan beliau barulah saya mengerti apa yang dimaksudkannya.

Kalau Us Syafiq selalu diperkatakan orang mengenai persamaannya dengan Us Adlan, saya kira serupa. Tetapi sekiranya persamaan saya dengan murabbi-murabbi saya, saya kira jauh perbezaannya sama sekali. Mungkin jejak langkah (berpesatuan) mereka yang saya ikuti itu merupakan cabang didikan dari mereka. Walaupun saya pernah ditaklifkan dengan amanah-amanah dalam persatuan sama dengan murabbi saya diamanahkan dulu. Tetapi saya masih kurang dan tidak lebih dari mereka.

Betapa hina dan rendahnya diri ini bilamana difikirkan kembali. Namun bagaimana pula persamaan diri kita dengan para sahabat dan para alim ulama'? Adakah kita tidak mahu menjadi seperti mereka? Tidak mahukah kita mencari persamaan kita antara para solihin dan para mukminin? Walaupun tidak mendapat persamaan yang penuh diantara kita dan para mukminin dan solihin, sekurang-kurang kita mendapat "lebih kurang kurang lebih". Tepuk dada tanya iman.

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP